5 Tabiat Baik Di Luar Negara

Bila saya berpeluang ke luar negara untuk bertugas, samada untuk mesyuarat atau penggambaran, saya dapati ada beberapa tabiat yang, jika praktikkan selalu, boleh membawa kesan dan kejayaan yang sangat besar:

1. PASANG NIAT YANG KUAT. Beberapa hari sebelum ke luar negara, saya akan pasangkan niat yang kuat tentang apa yang ingin saya capai diluar negara. Niat ini harus selari dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah di sana. Saya dapati niat yang kuat menggerakkan langkah kita dengan lebih tertumpu dan memastikan kita tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan niat utama. (Jangan jadikan niat sampingan seperti shopping, makan dan bersuka ria mengambil alih tumpuan kita lebih-lebih lagi bila kita ingin bertugas.)

2. RANCANG JADUAL SETIAP HARI DENGAN TERPERINCI. Ini boleh mengelakkan ketidaktentuan bila berada diluar negara. Catit dengan teliti siapa kita ingin temui, apa tugas harian kita, pukul berapa kita ingin makan dan berapa banyak wang yang ingin kita belanjakan.

3. BANYAKKAN DOA SEMASA DI LUAR NEGARA. Saya dapati banyak doa saya terkabul (syukur Alhamdulillah) semasa diluar negeri. Saya pasti Allah mengasihani mereka yang sedang musafir dan yang sedang bersusah payah mencari rezeki halal untuk keluarganya. Banyakkan berdoa - untuk apa sahaja. Untuk diri sendiri, untuk Ibu Bapa, Isteri, anak-anak, keluarga, teman-teman dan untuk agama. Doa temukan orang-orang yang baik dan yang boleh membantu kita.  Tidak lupa juga doa setiap hari agar dielakkan orang yang boleh menzalimi kita di sana. Seperti yang sudah kita tahu, doa seorang musafir adalah antara doa yang mustajab di sisi Allah:

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

4. ELAK KELUAR MALAM SEORANGAN. Baik lelaki atau wanita. Setelah kita makan malam, rehatlah di hotel dan kaji apa yang sudah kita lakukan pada hari itu dan tumpukan apa yang perlu dilakukan esok. Jangan keluar sehingga lewat malam seorangan tanpa tujuan. Selalunya kita bila berseorangan, kita terdedah dengan berbagai perkara yang tidak baik. Elak semua itu. Ingatkan keluarga kita yang sering mengharapkan kita sentiasa menjaga maruah dan tingkah laku kita di mana saja. Jika kita ingin berjaya dan mendapat apa saja yang diniatkan diluar negara, kita harus tahu setiap langkah kita di awasi Allah. Jangan tergoda.

5. PASTIKAN KITA HUBUNGI AHLI KELUARGA SETIAP MALAM - walau seketika (samada facetime, whatsapp, sms, skype atau sebagainya). Perbualan kita dengan isteri dan anak-anak pada setiap malam, semasa diluar negeri, memberi kita kekuatan dan peringatan tujuan sebenar kita. Jangan biarkan setiap malam sunyi daripada menghubungi mereka. Isteri dan anak-anak bagaikan akar kita di mana-mana.

Saya mengundang anda berkongsi tabiat baik anda semasa diluar negara agar lebih ramai lagi boleh memanfaatkannya. In shaa Allah

Semoga kita berjaya bersama.




Leave a comment