Akhlak Mufti yang saya kenali

Kita belum kenal dengan seseorang sehingga kita bekerjasama dengannya.

Tahun lalu saya berpeluang bekerjasama dengan Mufti Singapura Dr Mohamed Fatris Bakaram serta kakitangan Pejabat Mufti, Muis & kerabat khidmat Masjid-Madrasah-Wakaf.

Dalam kerjasama itu, syarikat ScreenBox menerbitkan acara serta siaran langsung BICARA PERDANA MUFTI

Walaupun saya sudah kenal Mufti Singapura sekian lama dan menemuramahnya beberapa kali, apa yang saya lihat sepanjang kerjasama Bicara Perdana Mufti itu mengingatkan saya mengapa pentingnya mencerminkan akhlak dan etika kerja yang terbaik walau dalam apa situasi sekalipun.

3 Akhlak Mufti Yang Ketara Semasa Bekerjasama

1. Merendah Diri

Sebelum siaran langsung diadakan, saya memerlukan Mufti membuat beberapa rehearsal di atas pentas. Di manakah beliau harus berdiri, kandungan serta video/grafiks yang harus diteliti serta keperluan teknikal yang harus sama-sama kita setujui.

Semasa di atas pentas, saya bertanyakan Mufti apakah cara penyampaian yang beliau inginkan nanti. Saya ingin tahu samada beliau ingin berdiri di belakang podium atau berjalan sambil menyampaikan ceramahnya. Oleh kerana beliau seorang Pendakwah yang berpengalaman, saya rasa perlu untuk mendengar nasihatnya tentang bagaimana beliau ingin menyampaikan ceramah pada malam itu. Tetapi inilah yang beliau katakan kepada saya, "Sujimy, saya ingin dengar kata direktor. Saya nak lakukan apa yang lebih sesuai untuk siaran ini." MasyaAllah, beliau lebih suka mendapatkan pandangan orang lain. (Sayalah direktor yang beliau maksudkan itu).  Padahal, beliau berhak menentukan cara penyampaiannya sendiri. Sikap rendah dirinya berbeza sekali sehingga membuat saya segan memberi arahan kepadanya. Namun, akhlak dan etika kerjanya ini memudahkan kakitangan penerbitan kerana walaupun pangkatnya tinggi disisi masyarakat, beliau sudi menerima pandangan dan arahan pihak penerbitan.

2. Tidak Merungut

Tidak ramai yang tahu Mufti sebenarnya sakit pada hari sebelum Bicara Perdana Mufti dan saya diberitahu demamnya memuncak pada hari siaran langsung. Malah saya dipesan kemungkinan beliau tidak dapat hadir. Tetapi nampaknya, Mufti kita meneruskan niatnya untuk  memberikan ucapannya selama 3 jam pada malam itu.

Kenapa saya katakan beliau tidak merungut? Bayangkan dalam keadaan sakit, sepanjang hari beliau membuat lawatan kepada acara-acara Salam Singapura pada hari tersebut. Kemudian sekitar jam 4 petang beliau menghadiri rehearsal dan pada malamnya menyampaikan ceramah berjam-jam dalam keadaan berdiri. Sedikitpun beliau tidak merungut. Malah semasa rehearsal, saya perhatikan lampu pentas yang menyuluh langsung kepadanya membuatnya silau. Saya juga perasan suhu lampu itu agak panas bagi Mufti yang sedang sakit itu. Namun, beliau tidak merungut. Oleh kerana  khuatir suhu demam atau sakitnya mungkin boleh meningkat kerana terlalu lama di bawah lampu yang agak panas, Mufti bertanya dengan baik samada kami boleh menurunkan cahaya lampu sedikit. Setelah menurunkan cahaya lampu, Mufti dapati gambarnya semasa siaran tidak begitu terang. Beliau langsung berkata, "Tidak mengapa Sujimy, jika awak kecilkan lampu, nanti penonton tidak dapat melihat saya dengan baik. Tak mengapa, saya cuba tahan." Mendengarkan kata-kata Mufti, saya terasa terharu kerana beliau benar-benar inginkan yang terbaik untuk siaran langsung itu serta hanya memikirkan keperluan mereka yang hadir dan menonton  - sakitnya ditolak tepi serta beliau tidak mahu keadaan sakitnya menjejas mutu siaran langsung. Itulah yang saya maksudkan, etika kerja 'tidak merungut' yang dipamerkan. Malah, sikap itu menguatkan semangat kami untuk memberi yang terbaik pada malam itu. Jika Mufti sakit lalu sanggup meneruskan acara itu dalam keadaan yang mencabar, kita juga harus sanggup melakukan kerja yang terbaik.

3. Tenang saja

Dalam setiap mesyuarat yang saya hadiri bersama Mufti dan rakan-rakan kerjanya, beliau mempamerkan sikap tenang dalam apa jua situasi. Saya tak pernah melihatnya terburu-buru membuat keputusan. Dalam satu mesyuarat membincangkan aturan Bicara Perdana Mufti, beliau bertanyakan setiap ahli mesyuarat untuk memberi buah fikiran serta cadangan bagaimana menjadikan acara itu lebih baik sebelum membuat keputusannya sendiri. Ini adalah ciri kepimpinan yang boleh dicontohi.

Sikap tenangnya juga dicontohi setiap rakan kerjanya yang terlibat sama dalam acara malam itu. Seperti yang kita tahu, keadaan disebalik siaran langsung sememangnya  tegang dan kadangkala cemas serta tertekan dengan segala aturan. Tetapi bila kita bekerja dengan kakitangan serta pemimpin yang tenang, segala-galanya lebih mudah dilaksanakan.

Saya rasa perlu untuk saya catitkan akhlak serta etika kerja Mufti agar kita tidak lupa di belakang hari, bahawa kita ada ketua agama yang berbudi.

 

 

 


7 comments


  • Nazri Bin Sinin

    SS Mufti selalu membuat saya sayup & sedih ketika bermunajat doa selepas setiap syarahan nya. Mungkin doa dari hati jatuh ke hati. Semoga Allah merahmati SS Mufti kita Ustadz Dr Fatris Bakaram. Aamiin


  • Nazri Bin Sinin

    SS Mufti selalu membuat saya sayup & sedih ketika bermunajat doa selepas setiap syarahan nya. Mungkin doa dari hati jatuh ke hati. Semoga Allah merahmati SS Mufti kita Ustadz Dr Fatris Bakaram. Aamiin


  • Zulfadhli

    Dlm pertemuan bagi mengundang Tuan Mufti utk sesi program “BUAL”, beberapa tahun lalu, pada mulanya beliau segan utk terima lamaran dan mengatakan ada lagi yg bergelar Dr yg lebih sumbangannya utk ditemubual. Beliau juga lebih senang utk ‘menyenangkan’ kerja kita dari kita yg perlu ikut rentak beliau… Kerendahan diri yg begini begitu memikat dan sangat terkesan.


  • Hamidah Haron

    Pemimpin yang dihormati dan menjadi tauladan kepada semua Asatizah muda diSingapura.
    Semuga dibawa kepemimpinan nya kita rakayat Muslim Singapura juga dapat mencontohi beliau.InsyaAllah.

    Semuga Mufti yang disayangi diberi kesihatan dari illahi.Amin


  • Hernie NanieUcher

    Pemimpin yg baik budi pekertinya. Seorang Mufti yg disayangi penduduk muslim di Singapura


Leave a comment