Allah mengembangkan usaha yang baik

Ini adalah renungan saya sendiri setelah sekitar 4 tahun saya menawarkan bengkel video kepada para pelajar dan guru secara formal.

Sebenarnya, saya tidak berniat untuk menjadikan bengkel video ini sebuah unit perniagaan di ScreenBox yang formal.

Sekitar 6 atau 7 tahun lalu, saya mula berniat untuk mendekati pelajar Melayu untuk berkongsi pengalaman saya dengan harapan dapat dijadikan motivasi untuk mereka meneruskan usaha mereka di sekolah dan terus tanamkan semangat untuk berjaya. Saya tergerak melakukan ini setelah menerbitkan rancangan seperti Hanyut di mana saya terdedah kepada ramai anak-anak Melayu yang sangat memerlukan rangsangan dan galakan untuk mencari haluan yang betul.  Saya dapati, bila saja saya menjatuhkan niat itu, saya mula mendapat undangan dari sekolah-sekolah untuk bertemu pelajar-pelajar berisiko. (Maksud berisiko adalah pelajar yang mempunyai banyak masalah di rumah dan mereka ada risiko berhenti sekolah serta terdedah kepada anasir-anasir negatif di luar). Ramai yang sudah saya temui dan saya rasa bertuah dapat mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

Bagaimana semuanya bermula? Bila saya bertemu dengan sekolah-sekolah menengah yang mengundang saya, guru Melayu di sekolah tersebut akan menyarankan kepada sekolah lain agar mereka mengundang saya untuk ke sekolah mereka pula. Dari situlah bermulanya perjalanan saya mendekati ramai pelajar Melayu di Singapura. Sesi motivasi yang saya anjurkan itu semua saya lakukan tanpa mengenakan yuran atau bayaran. Saya lakukannya secara percuma.

Kemudian saya mendapat undangan dari pihak sekolah rendah pula. Entah bagaimana nama saya mula disebarkan kepada guru-guru Melayu di sekolah rendah pula.

Pada suatu ketika, ada seorang guru sekolah rendah yang bertanyakan samada saya menawarkan bengkel penerbitan video. Waktu itu, saya langsung tidak memikirkan bahawa ia boleh menjadi suatu perniagaan yang berpanjangan. Saya hanya terima saranan itu kerana saya berfikir mungkin ini juga cara saya mendekati belia dan pelajar - iaitu menerusi bengkel video. Mulai saat itu saya mula mengongsi ilmu penerbitan video dan television kepada para pelajar sekolah rendah. 

Dari satu sekolah ke satu sekolah yang lain, permintaan didatangkan kepada saya untuk mengadakan berbagai bengkel video seperti skrip, papan cerita, pengacaraan, kewartawanan dan banyak lagi.. Sehingga hari ini, saya sudah mengajar lebih 2000 pelajar sekolah rendah, menengah, institusi tinggi dan lebih 200 guru tentang teknik pembikinan video.

Saya sungguh tidak menyangka niat saya mendekati belia boleh menghasilkan unit perniagaan yang baru. Malah unit ScreenBox yang menghasilkan bengkel penerbitan video ini, yang diberi nama Reel friends of ScreenBox  sudah mula menempah nama dan diberi kepercayaan untuk menjalankan bengkel video kepada guru-guru kurikulum di Kementerian Pendidikan Singapura dan guru-guru pakar di Pusat Bahasa Melayu Singapura. Kami juga sudah mula menghasilkan bengkel dalam bahasa Inggeris kepada sekolah-sekolah, MOE Language Centre dan pihak korporat. Alhamdulillah. 

Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana memudahkan usaha saya mendekati belia di Singapura. (Untuk pengetahuan anda, saya masih tawarkan sesi motivasi secara percuma kepada sekolah-sekolah.)

Inilah renungan saya:

1. Allah tidak akan sia-siakan niat baik kita. Malah Allah akan menambah dan mengembangkan langkah kita melebihi apa yang kita sangkakan.

2. Allah memberi ganjaran kepada mereka yang ingin membantu orang lain. Kita bantu orang, Allah bantu kita.

3. Jika Allah ingin memberi kita sesuatu, tiada siapa yang boleh menahanNya.

4. Tak perlu kita rasa rugi bila mengongsi pengalaman kita dengan percuma. Allah ganti semuanya itu dengan yang lebih baik lagi. 

5. Bila kita jatuhkan niat untuk berbuat baik, Allah akan memudahkan segalanya. Allah jugalah yang akan mendatangkan orang-orang tertentu yang boleh membantu kita mengembangkan niat baik kita.

Saya terhutang budi dengan semua guru-guru yang telah mengambil khidmat saya dan juga menyarankan nama saya kepada guru-guru lain. Terimakasih saya ucapkan. Hanya Allah saja yang boleh membalas budi baik semua guru-guru yang membantu perjalanan saya untuk mendekati pelajar-pelajar.

Saya mengharap perkongsian ini memanfaatkan anda yang sudah membacanya. Saya juga mengharap anda pula akan berkongsi pengalaman anda agar dapat membawa faedah kepada yang lain. Selamat maju jaya semua!

 


Leave a comment