Apa yang saya kongsi dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Yuhua

Semalam saya menerima undangan untuk mengongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar menengah 3 Sekolah Menengah Yuhua. Walaupun ia berlangsung pada 2 Syawal, saya rasa penting menghadirkan diri. 

Antara yang saya kongsi adalah betapa pentingnya kita harus yakin bahawa akan ada kemenangan yang menanti di penghujung setiap usaha kita. Tetapi kemenangan itu memerlukan kita hadir di saat itu agar dapat memastikan setiap peluang yang timbul disambut dengan baik. Saya memesan setiap murid, kita mesti hadir dalam setiap fasa hidup kita. Hadir dalam erti kata berada di saat dan tempat itu dengan niat untuk menerima ilmu dan peluang yang ada. Itulah sebabnya kita mesti hadir setiap hari ke sekolah, hadir bila teman karib kita memerlukan pertolongan, hadir untuk makan bersama keluarga atau hadir untuk mendengar nasihat daripada sesiapa sahaja yang sudi memberikannya. Kerana peluang keemasan mungkin tidak berulang dan sangat rugi jika kita terlepas peluang hanya kerana kita tidak berada di situ. 

Saya mengharap mereka yang hadir semalam sama-sama terbuka untuk mengatasi liku-liku hidup pelajar hari ini yang semakin mencabar.

Seperkara lagi yang dikongsi adalah betapa pentingnya kita membina dan membetulkan setiap hubungan keluarga, kawan-kawan dan sesiapa saja. Jika hubungan kita baik dengan sesiapa saja, kita akan hidup tenang dan kita boleh mendapat pertolongan sesiapa saja - walaupun dalam saat-saat genting. Seperti yang kita tahu, Allah suka dengan hambanya yang berbuat baik dan menjalinkan hubungan sesama kita. Dengan itu, kita akan sentiasa dalam naunganNya jika kita sering menjalinkan hubungan kita dengan orang lain sekaligus mendamaikan hubungan orang yang tersayang.

Yang terakhir saya kongsi kepada murid-murid adalah betapa pentingnya kita mencari teman-teman yang baik yang boleh menjadi pengaruh positif dalam hidup kita. Kalau kawan kita itu suka berhibur, kita juga akan suka berhibur. Kalau teman kita suka belajar dan berbudi, kita juga akan turut sama. Saya memberi contoh saya sendiri: semasa saya menengah 2, saya tidak berapa suka belajar dan suka bermain sahaja sehingga saya rasa tergerak mencari teman yang suka belajar. Mulai saat itu, nasib saya juga berubah. Alhamdulillah.

Seperti yang sudah dipesan Nabi SAW:

 Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang pandai besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau bisa membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan pandai besi, bisa jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.” (HR. Bukhari)

Terimakasih kepada guru-guru Sekolah Menengah Yuhua kerana mengundang saya. Saya sangat hargai.


Leave a comment