Berkongsi hidup, berkongsi perniagaan.

Ramai yang sering bertanya kepada saya, ‘bagaimana agaknya kerja dengan isteri?’, ‘gaduh di pejabat?’, ‘siapa bos?’ dan ‘tak bosan ke di pejabat dengan isteri, di rumah pun bersama isteri?’.

Saya sudah biasa dengan soalan-soalan seperti ini.

Namun bagi saya keputusan menceburi bidang niaga bersama isteri adalah antara keputusan paling bijak yang saya ambil dalam hidup.

Pengalaman bekerja di bawah satu bumbung sebagai rakan niaga sejauh ini amat seronok dan memuaskan. Anehnya, meskipun kami bekerja bersama, namun saya jarang dapat bertemu beliau, kerana kami sibuk dengan peranan masing-masing. Dari pengalaman saya, saya yakin perkongsiaan niaga dengan isteri atau suami anda juga boleh berjaya. 

Di bawah terdapat beberapa panduan berniaga dengan pasangan hidup kita.

Di tempat kerja:

1. Pastikan anda mengkhususkan tanggungjawab yang berbeza bagi anda dan pasangan anda. Jika terdapat duplikasi tanggungjawab, ia akan menyukarkan proses membuat keputusan di pejabat.

2. Pastikan anda membezakan soal kerja dan peribadi. Jika pasangan anda memberi kritikan mengenai kerja, terimanya secara profesional. Beliau mengkritik rakan niaganya demi kepentingan perniagaan, bukan pasangannya. Jangan satukan aspek kerja dan peribadi. Ini teramat penting.

3. Nyatakan dengan jelas siapa bos. Bagi saya, di pejabat, sayalah bos dan mempunyai tanggungjawab mutlak dalam operasi perniagaan dan pelaburan. Namun, dalam beberapa cabang operasi, isteri saya mengambil peranan bos kerana beliau lebih mahir dalam bidang itu dan semua kakitangan tahu peranan kami.

Di rumah:

1. Jangan bawa masalah kerja pulang. Kalau perlu, selesaikan di tempat meletak kereta bila anda sampai ke rumah. Sejurus anda melangkah masuk ke rumah, tukar peranan jadi suami dan isteri serta bapa dan ibu.

2. Pastikan malam dan hujung minggu anda bebas dari kerja, melainkan ia benar-benar perlu.

3. Solat bersama dan lafazkan doa anda supaya pasangan anda turut mendengarnya. Cara ini pasangan anda juga tahu apa aspirasi anda dan hala tuju anda sebagai suami isteri dan rakan niaga.

Di atas adalah antara beberapa panduan yang ditukil daripada buku saya (dalam bab bonus). Ada banyak lagi panduan yang saya kongsi di sini.

[caption id="" align="alignnone" width="1280.0"]Saya dan Isteri sedang menanti giliran kami membuat pembentangan untuk saluran Channel News Asia. Saya dan Isteri sedang menanti giliran kami membuat pembentangan untuk saluran Channel News Asia.



Leave a comment