Bertemu 2 Mufti

Semalam saya menemuramah 2 individu yang saya hormati dan segani.

Secara terus terang saya sangat suka bertemu dengan para ahli Agama kerana aura mereka sangat menenangkan.

Di hujung temubual, mereka meninggalkan nasihat-nasihat ini untuk kita amati:

"Agama adalah keperibadian dan penuturan bahasa yang lembut, serta pembawa rahmah dan kasih sayang." - Sohibussamahah Mufti Dr Md Fatris Bakaram

"Agama boleh membuat seseorang itu maju dunia dan akhirat. Bukan maju di dunia sahaja, dan bukan untuk akhirat sahaja. Malah kededuanya sekali." - Mantan Mufti Negara Shaikh Syed Isa Mohamed Semait

Syarikat ScreenBox sedang menerbitkan video korporat bagi Madrasah Aljunied dan kededua Mufti dan Mantan Mufti adalah bekas pelajar di sana. Banyak perkara yang saya pelajari menerusi temubual mereka. Antaranya:

1. Pangasas Madrasah Aljunied (Keluarga Aljunied) telah banyak menyumbang dengan pembangunan Madrasah ini dan juga tanah-tanah wakaf yang lain.

2. Semasa Mantan Mufti kita lulus dari Madrasah Aljunied dan menuju ke Universiti Al Azhar pada tahun 60an, guru-guru di sana masih belum kenal tahap pelajar Madrasah Al Junied. Jadi guru-guru di Al-Azhar menemuramah Mantan Mufti kita dalam bahasa Arab untuk memastikan taraf bahasa Arabnya tinggi. Alhamdulillah, beliau lulus temuramah itu. Hari ini, pihak Universiti Al Azhar sudah kenal dengan keupayaan graduan-graduan Madrasah Aljunied dan ramai yang berkelayakan ke sana.

3.  Sohibussamahah Mufti Dr Md Fatris Bakaram sangat tinggi pencapaiannya semasa umur belasan tahun di Madrasah Aljunied. Walaupun membesar di suasana yang tidak berbahasa Arab, beliau berupaya menjadi penuntut yang fasih berbahasa Arab dan terkenal dengan keupayaannya berpidato dalam bahasa itu.

4. Pengkhususan dan kecemerlangan bahasa Arab di Madrasah Aljunied sangat terkenal di rantau ini.

Semoga semua pengasas dan guru-guru Agama di Madrasah Aljunied diberi kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan tradisi Madrasah ini dan melahirkan lebih ramai pemimpin agama di hari muka. Aameen.




Leave a comment