Cintai dan hargai Bahasa Melayu menerusi program Pengacaraan & Kewartawanan TV

Semalam saya baru saja melengkapkan program Reel Presenter/Journalist (Pengacaraan/Kewartawan) untuk pelajar-pelajar menengah Northbrooks. Program ini ada beberapa matlamat penting untuk para pelajar: 

1. Menguatkan penggunaan bahasa Melayu menerusi kemahiran pengacaraan dan penulisan skrip Televisyen

2. Memberi pengetahuan tentang penggunaan bahasa Melayu di suasana penerbitan laporan TV 

3. Merangsang kemahiran menulis skrip bagi laporan TV dalam bahasa Melayu 

4. Memberi keyakinan mengacara dan menyampaikan laporan di depan kamera

5. Teknik dan kemahiran menemuramah untuk laporan TV

Program sebegini akan berlangsung selama lebih kurang 15 jam (dikelolakan sepanjang 2 atau 3 hari). 

Pada hari pertama pelajar-pelajar akan mendalami ilmu dan ciri-ciri pengacara budiman. Kemahiran dalam bidang pengacaraan boleh dipelajari dengan teknik bimbingan dan penggunaan bahasa Melayu yang mantap dan ringkas. Pada hari pertama ini juga saya akan sertakan modul pengenalan kepada pengetahuan teknikal dalam penerbitan video dan laporan televisyen. 

Pada hari kedua, saya memberi tumpuan kepada penulisan skrip serta proses rakaman bagi laporan televisyen. Di sini pelajar boleh memilih apa saja topik yang mereka minat tetapi program ini menghendaki mereka menyiasat dan mengolah laporan mereka secara sistematik. Mereka juga harus menjalankan temuramah untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai topik yang mereka selidiki. Kemahiran kewartawan juga diberi tumpuan pada hari kedua ini.

Pada hari terakhir, pelajar akan membuat lawatan (Learning Journey) ke pejabat dan studio ScreenBox untuk mempelajari sendiri proses menyunting video, menghalusi skrip bahasa Melayu, merakam suara latar dan melihat sendiri cara kami mengadun sebuah penerbitan televisyen. Di hujung sesi hari ketiga ini, kami akan menayangkan semua laporan video para pejalar untuk dinilai. Saya juga memberi ulasan kepada apa yang mereka sudah pelajari dalam program pengacaraan dan kewartawanan ini. Setiap pelajar menerima sijil program ini. Dan setiap kumpulan pelajar akan menerima rakaman DVD laporan yang mereka sudah terbitkan.

Saya dapati pelajar-pelajar sangat ghairah dan teruja menggunakan bahasa Melayu yang betul bila saja kamera mula rakaman. Suasana penerbitan laporan video membuat setiap pelajar menggunakan perkataan Melayu yang sesuai dan berkesan untuk penerbitan mereka agar menepati apa yang ingin disampaikan kepada penonton.

Bagi semua guru-guru yang berminat, silalah hubungi saya atau lungsuri lelaman ini.


Leave a comment