Fandi tetap menjadi contoh

Baru beberapa hari lalu Fandi menyambut hari lahirnya yang ke-55. Saya sudah mengenal dan temuramah Fandi sejak zaman bujangnya. Seringkali saya akan menemuramah Fandi seorang sahaja. Tidak pernah saya berpeluang bersama Fandi serta keluarganya.

Anda mungkin sudah lihat iklan TV MILO yang sudah ke udara di kaca TV dan media sosial. Inilah projek yang kami laksanakan di mana keluarga Fandi juga terlibat sama. Semasa kami menerbitkan iklan TV itu, saya sempat memerhatikan cara Fandi berinteraksi dengan isteri dan anak-anaknya. Fandi sememangnya seorang ayah dan suami yang lembut, tetapi berwawasan tinggi. Inilah antara perkara-perkara yang saya perhatikan:

1. Bila menyahut panggilan isterinya, Fandi menjawab dengan pelahan dan lembut. Wajahnya sentiasa tersenyum. Walaupun beliau sedang sibuk melayan pesanan whatsapp di telefonnya, beliau tidak menunjukkan sebarang rasa terganggu bila dipanggil.

2. Bila saya mengarah anaknya untuk melakonkan sebuah aksi, Fandi cepat-cepat menerangkan kepada anaknya apa yang kami perlukan. Saya rasa Fandi sudah terbiasa dengan keperluan penerbitan dan tidak mahu membuang masa. Beliau terangkan kepada anak-anaknya, dengan perlahan, apa yang diperlukan pengarah dengan caranya sendiri. 

 

3. Semasa menantikan masa untuk berlakon, beliau mengajak anak-anaknya menonton rancangan  sukan (bukan saja bolasepak) menerusi telefon bimbitnya. Semasa waktu rehat, beliau menunjukkan pertandingan bola keranjang NBA dan beliau menerangkan apa yang sedang berlaku dan apa yang ditonton kepada anak-anaknya. Mungkin beliau ingin anak-anaknya mempelbagaikan tontonan dan lingkungan sukan agar mendapat pendedahan luas terhadap bidang sukan, selain bolasepak. Saya rasa ini sangat perlu agar anak-anak tidak rasa terbatas dengan minat mereka di dalam sesuatu bidang.

4. Fandi dan isterinya, Wendy, serius dalam menjalankan tanggungjawabnya. Mereka faham beratnya tanggungjawab itu lebih-lebih lagi bila client sudah memberikan mereka kepercayaan penuh untuk mewakili sesebuah produk.

 

5. Beliau tidak pernah komplain atau merungut. Sepanjang penggambaran TVC MILO, kami perlu mengulangi babak iklan beberapa kali. Di hadapan keluarganya, Fandi kelihatan tidak pernah merungut dan sentiasa menunjukkan contoh yang positif untuk anak-anaknya (isterinya juga begitu). Beliau turuti kehendak penerbitan walaupun terpaksa dilakukan beberapa kali. Mungkin beliau tahu, di masa depan, anak-anaknya juga akan terlibat dengan lebih banyak peluang dalam penerbitan iklan lalu mereka harus tahu bagaimana untuk membawa diri.

6.  Bila tiba masa penggambaran di padang bola, saya dapat menyaksikan cara Fandi membimbing anaknya dalam kemahiran beraksi mengelecek bola. Sukar melihat Fandi memekik atau memaksa anaknya melakukan sesuatu yang dikehendakinya. Jika anaknya tidak memahami, Fandi akan tunjukkan beberapa kali. Dan jika anaknya masih belum fahami, beliau akan menukar arahannya dan cuba menerangkan sekali lagi dengan cara yang berbeza. Ini serupa dengan apa yang pernah saya lihat dahulu semasa pertandingan bolasepak tempatan oktocup, di mana anak-anaknya bertanding dengan kumpulan-kumpulan lain. Jarang kita lihat Fandi marah atau memekik walaupun anaknya tidak dapat melakukan apa yang perlu di padang.

Tidak hairanlah jika anak-anaknya begitu rapat dengannya kerana beliau mengambil pendekatan yang begitu rupa. Pendekatan Fandi tidak lari dengan apa yang pernah saya perhatikan dari dulu lagi semasa Fandi bujang - semasa zaman kegemilangannya sebagai bintang bolasepak negara yang disegani dan diminati ramai. Kini zaman kegemilangan Fandi dipindahkan ke dalam membangunkan sebuah keluarga yang berwawasan serta berpeluang mencipta nama di dalam arena bolasepak yang sangat beliau cintai.

Syabas Fandi.


Leave a comment