Gugurnya seorang Penyiar yang budiman

Bila saya terima berita Puan Asmah Laili meninggal dunia semalam, saya terasa sedih kerana inilah guru penyiar bagi ramai generasi pengacara, pembaca berita dan penyiar radio di Singapura. Beliau menjadi contoh bagi cara menyampaikan berita dengan nada suara yang sangat sesuai membuat ia mudah difaham pendengar dan penonton. Mereka yang betul-betul mempelajari cara Almarhumah menyampaikan bahan radio & TV sekaligus akan dapat manfaat cara beliau mendekati para pendengar dan penonton.

Bila saya bermula dalam bidang radio pada lewat tahun 80an (umur saya 16 tahun), saya berpeluang melihat sendiri etika kerja Almarhumah bila membuat penyampaiannya. Saya masih ingat bila saya meminta beliau izin untuk duduk disebelahnya semasa beliau menyunting rancangan radio dan semasa beliau menemuramah tetamunya. Inilah manusia baik yang sudi membenarkan seorang remaja yang tidak berpengalaman seperti saya pada waktu itu untuk sama-sama belajar ilmu bergaul dengan tetamu serta ilmu menggunakan nada suara bagi menarik minat pendengar. Dengan itu, saya hargai jasa besar beliau serta segala tunjuk ajar, bukan saja kepada diri saya, malah kepada semua generasi penyiar yang berpeluang mendapatkan manfaat daripada sumbangannya.

Saya doakan Almarhumah Asmah Laili mendapat tempat di Syurga serta menerima segala ganjaran atas sumbangan dan tunjuk ajar. Aamiin.

Inilah gambar terakhir beliau petik bersama saya bila kami bertemu beberapa tahun lalu. Alfateha untuk Almarhumah Asmah Laili.


Leave a comment