Jimat bila memasarkan usaha pungutan derma.

Saya menjangka kita akan dikerumuni dengan beberapa usaha mencari derma tidak lama lagi.

Kita sering melihat badan-badan Melayu/Islam dan pihak Masjid meningkatkan usaha mereka menjelang bulan puasa tahun ini. Saya hanya ingin memberikan sebuah saranan agar badan-badan Melayu/Islam termasuk pihak Masjid dapat menjimatkan wang dan pelaburan mereka (secara berkumpulan) sedang mereka berusaha memasarkan kempen memungut derma.

Tambahkan nilai airtime (masa siaran) & raih diskaun media tempatan.

Saya akur bahawa setiap wadah media boleh digunakan untuk membantu melaung-laungkan usaha memungut derma. Cuma saya jarang melihat badan-badan/masjid tertentu bersatu dalam pelaburan pemasaran untuk meraih diskaun lebih besar yang sudah tersedia bagi beberapa wadah media ini.

Misalnya, bagi wadah televisyen, ramai yang tidak tahu bahawa jika kita satukan bajet pemasaran, kita boleh menerima nilai airtime (masa siaran) tambahan. Sebagai contoh, jika sebuah badan melaburkan $10 ribu untuk menempah airtime, sukar untuk badan ini mendapat masa siaran tambahan kerana pelaburannya dijangka kecil. Tetapi lain halnya jika 5 badan-badan tertentu, yang mempunyai bajet $10 ribu  setiap satu, mula menempah airtime secara berkumpulan. Pihak TV pasti akan memberikan nilai airtime tambahan hanya kerana kini pelaburannya ($50 ribu) besar berbanding sebelum ini. Jumlah nilai airtime tambahan ini boleh menjangkau beribu dolar – bergantung kepada pelaburan asal.

Kontrak $50 ribu ini pula boleh mendapat diskaun lanjutan sebanyak 7% hingga 15% jika badan-badan ini menggunakan sebuah agensi pengiklanan yang diiktiraf. Tidak susah untuk mencari agensi-agensi ini. Anda hanya perlu mendapatkan senarainya dari pihak TV. (Lagipun bila anda menggunakan agensi pengiklanan, anda ada 30 hari untuk melunaskan bayaran pelaburan pengiklanan anda. Lain halnya jika anda menempah masa siaran tanpa orang tengah, anda perlu melunaskan semua bayaran sebelum iklan itu ke udara.)

Hal ini serupa bagi semua wadah media tempatan yang lain (tak kira radio atau media cetak) kerana hampir semua wadah media menggalakkan pembelian ruang iklan (advertising space) secara borong.

Saya yakin diskaun dan nilai airtime tambahan ini merupakan penjimatan yang muai dan boleh membantu mengurangkan kos promosi memungut derma. Lebih-lebih lagi jika wang yang digunakan sebagai pelaburan asal itu datang dari masyarakat umum. Sudah pasti penjimatan ini cukup berbaloi.

Konsep jimat secara berkumpulan ini juga boleh kita terapkan dalam semua khidmat promosi dan pemasaran. Kita hanya perlu sudi bergerak secara berkumpulan.

Sama-sama kita berjaya.


Leave a comment