Kalau ingin mengAntarabangsakan Melayu, kita mesti…

…antarabangsakan kandungan rancangan TV Melayu dahulu.

Ini kerana kandungan TV adalah sumber pertama dan yang paling mudah didapati bagi penduduk luar negara mengenali siapa orang Melayu sebenarnya.

Jika kita bandingkan, terdapat banyak kandungan rancangan TV yang ‘menjual’ budaya India (Bollywood), Cina, Korea & Jepun. Tetapi kurang yang mempromosikan budaya & bangsa Melayu.

Kita juga mesti pelajari cara orang Korea mengantarabangsakan drama mereka sehinggakan ia menjadi begitu popular. Apakah formula mereka? Adakah ia terletak pada jalan cerita, barisan pelakon atau jaringan pengedaran mereka?

Bila sesuatu bangsa dapat mendalami pasaran dunia dengan kandungan rancangan TV, secara tidak langsung kepopularan bangsa ini boleh mencetuskan peluang-peluang lain. Seperti pelancungan, perniagaan dan banyak lagi. Bila sesuatu bangsa itu mula popular, ia juga mudah untuk masyarakat dunia memahami isi hati mereka sekaligus menerima saranan-saranan mereka – samada saranan berbentuk perniagaan, sosial mahupun politik. Bayangkan kalau saranan-saranan kita sering diterima penduduk dunia.

Usaha mengantarabangsakan bangsa Melayu menerusi rancangan TV memerlukan keterlibatan semua lapisan masyarakat bukan saja para penerbit TV.

Saya jelaskan:

ORANG RAMAI: Jika diundang untuk ditemubual di rancangan bukan Melayu, mesti selalu terima agar kita diwakili. Saya baru saja menonton sebuah rancangan di ChannelNews Asia berjudul Buying Asia. Dalam episod yang saya tonton, pihak penerbit luar negara menemubual semua bangsa di Singapura, melainkan orang Melayu. Rancangan ini mengemukakan tentang orang-orang Singapura yang memiliki rumah – sebarang jenis rumah. Bila saya amati rancangan ini, saya dapati tidak ada seorang Melayu pun yang ditemubual. Adakah orang asing tidak tahu kewujudan orang Melayu di Singapura? Mungkin ya. Atau, mungkin tidak. Mungkin ada yang diundang untuk ditemubual tetapi tidak mahu ke depan. Apa jua sebabnya, saya harap ini akan berubah.

PEMIMPIN: Para pemimpin di Singapura mesti menggalakkan para karyawan media untuk menerbitkan lebih banyak kandungan yang boleh mempromosikan budaya Melayu ke luar negara. Ini mesti diselarikan dengan usaha yang sudah dilakukan untuk mengeksport budaya Melayu ke negeri-negeri lain. Sekarang ini saya tahu ada unit pemerintah yang membantu mengenalkan tarian Melayu ke luar negara. Jadi untuk menambah nilai usaha ini, kita mesti siapkan pelbagai kandungan rancangan Melayu yang boleh memberi gambaran menyeluruh mengenai orang Melayu Singapura.

PENERBIT: Kita mesti memikirkan lebih banyak konsep rancangan TV Melayu yang boleh pergi jauh. Maksud saya, rancangan yang universal yang boleh ditonton penduduk dunia. Terapkan unsur-unsur keMelayuan kita ke dalam rancangan kita. Tetapi setiap konsep rancangan itu HARUS berbentuk ‘mesra-aneka-kaum’ yang boleh ditonton semua masyarakat dunia.

Hanya dengan kerjasama semua pihak dapat kita naikkan nama Melayu di pentas dunia.

Mungkin usaha ini akan lebih berjaya jika kita ada satu cogankata yang boleh kita garapkan untuk ia lebih senang diingat (i.e. market-friendly). Misalnya, bagi kaum India mereka ada istilah Bollywood. Di Korea, mereka memberi istilah Hallyu (The Korean Wave) bagi menggambarkan semua pengaruh-pengaruh orang Korea di arena antarabangsa.

Apa agaknya istilah untuk mencerminkan pengaruh orang Melayu?


Leave a comment