KAWAN LAMA, ZAMAN MUDA

Saya terserempak kawan lama saya semalam. Baharudin Ismail namanya. Kami berasal dari sekolah menengah yang sama - Dunearn Secondary Technical School (DSTS).

 

34 tahun dahulu, semasa di sekolah, Din merupakan seorang pemain dram yang sangat berbakat. Dalam usianya yang muda, cara beliau bermain dram bagaikan seorang pemain dram profesional sehinggakan membuat saya teruja ingin menjadi seorang pemuzik.

 

Kami sering "jamming" bersama rakan-rakan lain. Seronok sangat sehingga kadang-kadang terlupa nak belajar :)

 

Waktu itu, saya sangkakan kami akan terus bermain muzik dan mungkin menjadikannya masadepan kami - kerana suka dan minat sangat dengan muzik.

 

Hari ini, perjalanan hidup kami sangat berbeza dan tidaklah seperti yang saya jangkakan dulu. Din adalah seorang pegawai di PA (Persatuan Rakyat) dan saya, seorang penerbit TV. Masih meminati muzik tetapi hanya tinggal kenangan.

 

Bila kita renung zaman muda dahulu, kita semua punya cita-cita, minat dan kesukaan. Minat kita boleh berubah mengikut kehendak masa, keadaan, pergaulan, pengalaman serta laluan yang kita ambil.

 

Pertemuan saya dengan Din mencetus ingatan tentang minat anak-anak saya satu hari nanti. Hari ini mereka mungkin minatkan sesuatu tetapi perjalanan mereka mungkin berbeza setelah mereka melalui zaman bersama rakan-rakan mereka. Saya pasti anak-anak kita juga akan terpandu dengan apa yang sudah tertulis untuk mereka. Kita hanya perlu terus berdoa dan membimbing mereka untuk mengenal erti berwawasan serta mencari apa yang penting dalam hidup. Antaranya, kita harus galakkan mereka mengekalkan hubungan dengan kenalan lama agar suatu hari nanti mereka dapat merasakan keseronokan bertemu kawan lama dan mengimbas zaman muda mereka. Kawan lama mengingatkan kita semangat ceria dan kesucian bersahabat tanpa perlu sebarang ikatan.

 

Jika tulisan ini mengingatkan anda kepada rakan lama, hubungilah mereka agar kenangan lama kembali mengusik jiwa :)


Leave a comment