Kejar kecemerlangan

Sejak beberapa tahun yang lalu, saya dapati impian dan cita-cita saya berubah. Saya mula impikan keringkasan dalam hidup. Saya rasa tak perlu kita ada kereta mewah atau rumah yang besar. Kereta yang saya gunakan untuk perniagaan sudah pun saya tiadakan. Kini saya sedang mencari rumah yang lebih kecil - ya, saya ingin downgrade.


Seperti ramai yang sedang mengejar kejayaan, saya pernah dahulu meletakkan kejayaan hanya pada jumlah penjualan yang boleh kita capai. Hari ini saya melihat kejayaan dengan sudut yang berbeza.


Adakah orang-orang yang bekerja dengan kita merasa gembira? Adakah kita benar-benar mendengar luahan anak-anak kita? Atau sudahkah kita memberi yang terbaik untuk pasangan kita? Atau, lebih penting lagi, sudahkah kita berlaku adil dalam setiap hubungan yang telah kita jalinkan? Bagi saya, perkara-perkara ini adalah lebih penting dalam hidup. 


Tetapi satu perkara tidak akan berubah dalam hidup saya. Saya akan tetap mengejar kecemerlangan dalam apa yang saya lakukan setiap hari. 


Kecemerlangan dalam hubungan antara kenalan, lebih-lebih mereka yang kita sayangi. Kecemerlangan dalam tugasan harian. Dan yang penting sekali, harus cuba mengejar kecemerlangan dalam mengerjakan amalan dan ibadah - In Shaa Allah. Inilah yang dituntut sebenarnya oleh yang Maha Esa.


Saya impikan keringkasan serta kecemerlangan. Ringkas tidak bermakna kita tidak tangkas dan tidak pantas. Harus cerdas tetapi beralas. 


Kejarlah kecemerlangan, in shaa Allah, kejayaan dunia akhirat boleh menyusul.


Saya doakan anda sentiasa dalam keadaan cemerlang di mana saja anda berada.

 


Leave a comment