Nak hilangkan ego? Buatlah tugas-tugas mudah ini.

Saya bertemu rakan saya tempoh hari dan kami berbincang cara paling mudah kita menghilangkan sifat ego.

"Buatlah kerja-kerja yang merendahkan diri." 

Menurut rakan saya ini, di samping kita mempunyai tugas profesional sepenuh masa, carilah peluang melakukan kerja-kerja seperti cuci pinggan, gelas, menggosok baju, menyapu lantai dan mengemas rumah. Dan bila kita melakukan tugas-tugas ini, buatlah dengan seikhlas hati dan berikan sepenuh tumpuan kita. Sambil kita melakukan tugas-tugas ini, ingatkan diri kita bahawa inilah tugas yang perlu dilakukan dengan tangan sendiri dan ia memberi manfaat kepada orang lain. Bila tugas-tugas begini sering dilakukan dengan hati yang rela, ego kita senang nak bela walau pangkat kita tinggi lagi berada.  

Layani tetamu dengan baik

Bila Sujimy diundang ke rumah Habib Hassan (Imam Masjid Ba'Alwie) bersama rakan-rakan, saya perhatikan betul-betul cara Habib Hassan melayan kami. MasyaAllah, Imam besar ini cukup rendah diri, bertenaga dan sangat sopan santun bila melayani kami. Beliau memastikan pinggan kami tidak pernah kosong dan sering menambah makanan kami dengan tangan beliau sendiri. Beliau juga akan membuat teh (dan menambahnya) dan sering memeriksa tetamunya agar kami sentiasa selesa. Perbuatan, tingkah laku dan layanan Habib Hassan sangat terkesan bagi saya sehingga membuat saya terfikir, "Imam besar ini lebih rapat dengan Allah tetapi dia membesarkan tetamunya dengan layanan yang sangat mesra." 

Sujimy pasti, layanan 'first-class' yang ditunjukkan Habib Hassan datang daripada niat yang murni untuk merendahkan diri di hadapan tetamu. 

Kededua perkara yang tertera di atas boleh menghilangkan sifat ego jika kita mendekatinya dengan niat untuk membersihkan diri daripada sifat ini.

Hilangkan sifat ego ini dengan membuat kerja yang merendahkan diri dan layanilah tetamu dengan setinggi budi.




Leave a comment