Pandangan saya tentang Wisma Geylang Serai

Terus terang saya katakan saya amat gembira bila mendengar tempat ini akan mendapat bangunan baru. Masanya memang tepat sekali.

Tetapi apakah yang harus ada dalam bangunan ini agar ia dapat ‘hidup sendiri’ satu hari nanti? Apa yang saya maksudkan dengan ‘hidup sendiri’ adalah ia menjadi satu bangunan yang menguntungkan pengunjung dan peniaga yang berada di sana. i.e. The tenant mix and visitor-circulation MUST BE self-sustaining.

Dewasa ini, kita sudah terlalu banyak melihat contoh bangunan-bangunan yang canggih tetapi tidak berupaya menjadi tarikan bagi para pengunjung. Bangunan SCAPE misalnya. Peniaga-peniaga di sana sukar mendapat pengunjung yang boleh menyokong perniagaan mereka. Mengapa? Ada beberapa sebab. Lokasinya, adunan peniagaan dan kedai-kedai di sana dan banyak lagi. Tetapi yang sering menjadi sebab utama mengapa sesebuah bangunan tidak dapat menarik pengunjung adalah adunan perniagaan atau adunan penyewa (tenant mix) di bangunan tersebut. Jika adunan penyewa tidak baik, bangunan ini tidak akan dapat bertahan lama.

Kita lihat sahaja bangunan 10 Mile Junction. Dahulu bangunan ini langsung tidak dilanggani pengunjung kerana tiada adunan penyewa yang baik. Tetapi setelah mereka mengambil penyewa utama (i.e. key tenant) pasaraya Sheng Siong, tempat ini sudah mula menjadi popular dan mendapat kunjungan ramai penduduk.

Ini tidak bermakna saya sarankan Sheng Siong berada di Wisma Geylang Serai. Tidak. Apa yang kita harus lakukan ialah menyelidik apakah adunan penyewa yang terbaik untuk bangunan ini. Sebelum kita membuat keputusan muktamad, kita dapatkan dahulu nasihat dari mereka yang sudah menguruskan bangunan seperti ini agar ia boleh mekar hidup sendiri.

Sebenarnya, untuk membuat bangunan ini berjaya, ia bukanlah soal samada kita harus menempatkan perniagaan Melayu sahaja atau soal samada kita harus juga ada perniagaan bukan Melayu. Kerana perbincangan sebegini tidak boleh menyokong daya tarikan bangunan ini. Sebaliknya kita mesti cari bentuk adunan penyewa yang paling sesuai dari aspek ekonomi dan aspek tarikan. Jika adunan ini betul, maka ia boleh lama bertahan.

Saya beri contoh. Seperti yang kita tahu, hampir kesemua pusat membeli-belah yang berjaya  mesti mempunyai Panggung Wayang. Ia menepati permintaan rakyat Singapura yang suka menonton wayang. Mengapa tidak kita adakan sebuah Panggung Wayang di dalam bangunan Wisma Geylang Serai sebagai penyewa utama? Tetapi panggung wayang ini ada kelainannya. Ia menggalakkan tayangan filem Melayu sebagai  keutamaannya. Maksud saya, ia menayangkan filem berbahasa Melayu, filem yang dialih-bahasakan Melayu atau filem dengan sarikata Melayu. Ia boleh menayangkan filem bahasa lain tetapi ia tidak menjadi keutamaan. Ini boleh menjadi tarikan bukan sahaja kepada peminat filem Melayu, malah juga penerbit filem Melayu. Ini akan menggalak lebih ramai untuk menghasilkan filem-filem Melayu. Kerana, seperti yang kita tahu, di Singapura tidak terdapat banyak panggung wayang yang menyokong tayangan filem Melayu. Ini kenyataan.

Jadi apa saja yang ingin kita adunkan di Wisma Geylang Serai, ia harus menepati permintaan ekonomi dan, lebih baik lagi, jika aspek ekonomi itu menepati citarasa orang Melayu.

Adakan focus group dengan pengunjung muda, dewasa dan warga emas. Tanyakan apa yang membuat mereka mengunjungi sesebuah bangunan berkali-kali.

Kita boleh sama-sama menjayakan projek ini.

Selamat maju jaya semuanya!


Leave a comment