Semangat Singapura Berbilang Makna

Manja Magazine asked me to write an article with National day theme. Was thinking hard about what I should write. Then a casual talk with my daughters gave me the slant of the article. Below is the article that appeared in Manja Magazine August 2009 Edition. Thanks Manja! Happy Birthday My Singapore!

“I will defend my teeth Ayah!”. Itulah jawapan anak kedua saya Qasrina, 4 tahun, bila saya tanyakan apa yang akan beliau pertahankan. Saya ketawa sendiri mengingatkan jawapan itu setiap kali saya melihat iklan Kementerian Pertahanan dengan cogan kata  “What will you defend?”. Anak saya masih kecil lagi jadi soalan itu pastinya belum lagi bersemarak dalam dirinya.

Tetapi bila saya ajukan soalan yang sama kepada anak sulung saya, Qistina, berumur 7 tahun, beliau dengan spontan mengatakan, “My family, Ayah.” Ketawa saya yang pada mulanya itu menjadi sayu kerana mengingatkan sikap anak sekecil ini yang sudah mempunyai semangat untuk mempertahankan keluarganya.

Hati saya kemudian mula bersuara. Adakah rasa cinta kepada keluarga, bangsa, ugama dan negara akan menimbulkan semangat semulajadi untuk mempertahankan semuanya? Sudah pasti.

Kalau cinta membakar semangat, apa yang membakar cinta?

Phweewit! Sujimy nak cakap pasal cinta ke? He he tak sanggup saya kerana cinta itu terlalu luas. Tiada penghujungnya.

Saya cuma ingin kita sama-sama renungkan apa sebenarnya yang boleh mencetuskan rasa cinta kita kepada negara Singapura. Dengan itu kita lebih bersemangat ke-Singapuraan lalu terus sayangkan negara. Ia seperti putaran roda, cinta membakar semangat lalu semangat membakar cinta dan begitulah seterusnya.

Bela Singapura

Saya sering ke luar negara untuk mendekatkan syarikat penerbitan saya, ScreenBox Pte Ltd, kepada masyarakat dunia. Semasa saya di Cannes (Perancis) beberapa tahun dahulu untuk acara MIPCOM (sebuah acara di mana filem & rancangan televisyen dijual-beli), saya rasa amat kecil pada mulanya. Ini kerana terlalu ramai penerbit dan syarikat-syarikat yang ternama sedang bergiat dan siapalah saya. Tetapi bila saya mengenalkan diri dengan mengatakan saya berasal dari Singapura, ramai yang memberi semacam penghormatan. “You guys are small but fast & efficient.”, kata mereka. Kecil tetapi berkesan dan pantas. Komen itu membuat saya rasa bagaikan pahlawan kilat yang boleh membuat apa sahaja. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pengedar antarabangsa di acara itu. Apa yang penting di sebalik pengalaman ini adalah nama Singapura yang semakin harum di mata dunia. Ini adalah kenyataan dan ia boleh memberi anda semangat untuk berjuang. Jadi kita patut membela nama Singapura di mana sahaja kita berada. Jangan biarkan ia dipermain-mainkan.

Melayu Singapura

Saya bersyukur menjadi rakyat Singapura – kerana di sini kita harus bekerja keras untuk berjaya. Sesiapa boleh mencapai kejayaan jika berusaha dan bekerja keras – tidak kira bangsa, bahasa atau ugama.  Kita sebenarnya mampu melakukan apa sahaja di tanahair kita dan meraih matlamat kita. Tidak kira samada kita seniman, pelajar, pekerja, usahawan mahupun surirumah sepenuh masa, kita sudah terbiasa dengan sikap memperbaiki diri dan mendekati cara baru untuk menyara hidup. Teruskan sifat ingin mencapai kecermalangan kita di Singapura kerana ini adalah semangat Singapura sebenar yang kian menebal.

Bangun Singapura

Anak saya pernah tanya kenapa kita tak boleh nampak sangat Singapura di peta dunia. Saya katakan Singapura kecil. Tetapi hakikatnya, walaupun ia kecil, Singapura tidak mengecil.  Malah suara negara kita sudah didengari di setiap pelusuk dunia. Bantuan kemanusiaan Singapura sudah sampai ke negara-negara yang lebih besar.  Yok sama-sama kita terus bangunkan Singapura dan keistimewaannya!

Fuyooh Sujimy ni lakarkan yang baik-baik sahaja? Takkan Singapura tak ada kekurangannya…

Eh ada, semua negara ada kekurangannya. Tetapi itu tidak bermakna cinta kita berkurangan. Sama seperti bila kita cintakan seseorang (hah ni baru bab cinta). Cinta kita tidak sepatutnya menipis hanya kerana kekurangan orang yang kita cintakan. Betul kan kan? Pheewit!  J

Dewasa ini saya sering cuba menerapkan semangat Singapura ke dalam diri anak-anak saya. Saya akui ia bukanlah sesuatu yang mudah dan sukar  diamati serta merta. Dalam hal ini saya masih sedang belajar dan jikalau anda ada cara yang baik, saya minta anda kongsilah bersama saya.

Saya dapati bagi anak-anak kecil mereka masih belum pasti makna sebenar menjadi anak Singapura. Apa agaknya makna merdeka dan bebas ke mana-mana. Di mana datangnya kesenangan dan kemudahan yang tersedia ada di negara kita. Dan yang penting sekali, dapatkah generasi akan datang melihat pahit-getir Singapura dan menghargainya? Saya tiada jawapan pasti dalam hal ini.

Tetapi apa yang pasti, kita tidak boleh biarkan anak-anak muda kita teruskan hidup mereka tanpa rasa cinta kepada negara. Ini boleh menghasilkan generasi yang mementingkan diri sendiri sahaja. Generasi di mana jiwa mereka tidak terasa apa-apa bila kita laungkan ayat “tanah tumpah darah”. Sedih kalau ini terjadi.

Walaubagaimanapun saya tetap gembira melihat ramai anak muda Singapura yang sudah mula melahirkan semangat Singapura dengan bakat mereka. Kini kita ada bakat muda Singapura yang bekerja di syarikat-syarikat gergasi seluruh dunia. Misalnya kita ada anak-anak Melayu Singapura yang berada di Syarikat Berbilang Negara (MNC) berkarya dan bekerja – mengharumkan nama Singapura.

Dalam industri media sahaja, kita sudah ada penerbit-penerbit Singapura yang banyak menghasilkan rancangan TV dan filem yang sedang ditonton  masyarakat dunia. Saya turut bangga kerana kekuatan industri Singapura dapat juga membantu saya menerbangkan rancangan penerbitan kami seperti The Peddlers of Asia ke 17 negara untuk dinikmati. Semangat betul.

Semangat Singapura

Semangat Singapura hadir di mana-mana. Tidak perlu kita tampilkan hanya di perarakan sahaja. Kalau anda seorang pelajar, anda naikkan nama negara dengan meraih seberapa banyak ilmu yang ada. Jadilah pelajar yang terbaik. Jika anda seorang pekerja, anda harumkan nama negara dengan menjadi pekerja berwibawa. Andalah tulang belakang Singapura. Jika anda seorang usahawan, kita majukan masyarakat Singapura dengan membawa produk kita ke luar negara atau kita sumbangkan idea yang boleh mengerakkan masyarakat. Sesiapa sahaja boleh mengibarkan bendera Singapura. Tiada batasan.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan Singapura. Cintakan maknanya.

Sujimy Mohamad, Anak Singapura


Leave a comment