SIKAP SEORANG IBU

Semenjak saya kecil lagi, ada beberapa sikap Ibu saya, yang sehingga ke hari ini, beliau akan terus lakukan.

MAAFKAN ANAKNYA
Setiap kali saya meminta maaf, Ibu saya akan katakan beliau sudah lama memaafkan saya dan saya tidak perlu risau lagi.

DOAKAN ANAKNYA
Ibu pernah beritahu saya yang, bila setiap anaknya keluar rumah, Ibu akan doakan setiap langkahnya sehingga anak itu tidak lagi dalam pandangannya. Beliau juga sering bangun malam untuk mendoakan anaknya yang sedang melalui cobaan atau yang sedang mengambil peperiksaan, temuduga dan sebagainya.

JAGA MULUT
Oleh kerana setiap patah perkataan itu doa, dan doa seorang Ibu makbul, Ibu cuba sedaya upaya menjaga kata-katanya agar tidak terlontar doa-doa negatif kepada anak-anaknya. Beliau juga cuba jaga hati anaknya dengan memberikan kiasan dan perumpamaan yang sesuai walaupun beliau tidak setuju dengan keputusan anak-anaknya.

SELALU MASAK
Saya tidak pernah melihat ibu tiada di dapur atau tidak masak. Walaupun dulunya kita serba kekurangan, tetapi dapur kami sentiasa ada makanan. Ibu sering masak hidangan yang ringkas tetapi enak santapan. Sewaktu saya menjalani perkhidmatan negara (askar), Ibu saya akan sering tanya bila saya boleh pulang ke rumah. Dan bila saya keluar dari kem, Ibu akan kata, “Mak dah masakkan kau jemput-jemput pisang.” Bila mendengar juadah kegemaran saya sudah Ibu masakkan, saya tak jadi merayap dan terus pulang.

Hari ini, selain memasak untuk anak-anaknya, Ibu akan masak untuk cucu dan cicitnya bila mereka mengunjunginya dan beliau juga tahu makanan kegemaran mereka.

SOKONG AYAH
Semasa saya kecil, dan semasa Ayah saya masih ada, saya perhatikan Ibu saya tidak meminta apa-apa daripada Ayah saya, malah bila dalam kesusahan, Ibu dan Ayah sering bekerjasama untuk menyelesaikannya. Masalah kewangan menjadi ringan bila mereka tidak bergaduh di depån anak-anak dan selalu saling menyokong dalam apa jua keputusan rumahtangga.

SOKONG MINAT
Bila umur saya 16 tahun dan baru berkecimpung dalam bidang radio, Ibu saya menyuruh saya melatih suara di depannya. Ibu juga akan merakamkan semua rancangan radio dan TV saya tanpa henti dan beliau mengumpulkan semuanya untuk saya ❤️

Hari ini beliau sokong minat saya membuat video di media sosial - merakam masakan dan nasihatnya.

Kepada ibu saya dan semua Ibu-ibu yang beronline ketika ini, saya doakan anda sentiasa berada di samping orang yang tersayang dan mendapat naungan Allah di dunia dan akhirat. Aamiin.


Leave a comment