Saya Solat di Masjid Tertua dan dikatakan pertama di China
Bila saya buat keputusan ke Guangdong, saya cukup ghairah kerana setelah membuat kajian, kita tahu di Guangzhou (sebuah bandar di province Guangdong) ada 2 buah masjid yang sangat bersejarah. Oleh kerana kita juga pernah membaca bahawa Islam telah sampai ke China lebih 1,300 tahun dahulu, saya mula tertanya masjid mana yang dibina dahulu ketika Islam bertapak di sana.
Bayangkan, setelah sekian lama merancang akhirnya saya berdiri di hadapan sebuah pintu merah yang sederhana di tengah-tengah bandar Guangzhou - yang dikatakan masjid pertama di negara China ini - saya masih sukar lupakan pengalaman ini.
Di sebalik bangunan pencakar langit dan bandar moden yang menjadi antara pusat ekonomi terbesar di China, tersembunyi sebuah masjid yang dianggap sebagai antara masjid tertua yang masih wujud di negara ini – Masjid Huaisheng, atau lebih dikenali sebagai Guangta Mosque. Ada yang mengatakan ia yang pertama di China yang dibina oleh sahabat Nabi Muhammad s.a.w., Sa’ad Ibn Abi Waqqas r.a.
Saya datang ke sini baru-baru ini sebagai sebahagian daripada lawatan kerja dan recce. Sejujurnya, saya menyangka masjid ini hanyalah sebuah bangunan kecil yang mempunyai nilai sejarah. Malah, pemandu pelancong kami juga memberitahu bahawa masjid ini sangat kecil tetapi apabila melangkah masuk ke dalam kawasan masjid, persepsi saya terus berubah.
Kawasannya jauh lebih luas daripada yang saya bayangkan. Suasananya tenang, teduh dan penuh dengan rasa tenteram walaupun berada di tengah-tengah bandar Guangzhou yang sibuk.
Saya mengambil wuduk di sini. Kemudian saya menunaikan solat. Entah mengapa, hati saya terasa begitu sayu.
Saya sedar bahawa saya sedang bersujud di tempat yang telah menjadi rumah ibadah umat Islam selama lebih daripada 13 abad. Berapa ramai pedagang, ulama, musafir dan pendakwah yang pernah berdiri di saf yang sama sebelum saya? Hanya Allah yang mengetahui perkara ini ya.
Bagaimana Islam Sampai ke Guangzhou?
Guangzhou merupakan salah satu pelabuhan perdagangan paling penting di dunia sejak zaman Dinasti Tang. Pedagang Arab dan Parsi datang melalui laluan laut untuk berdagang sutera, rempah dan pelbagai barangan.
Di kawasan masjid ini juga terdapat sebuah menara yang dikenali sebagai Guangta, atau "Light Tower".
Daripada papan penerangan yang saya baca di sana, menara ini bukan sahaja digunakan untuk azan dilaungkan. Pada waktu malam, cahaya akan dinyalakan di puncaknya sebagai panduan bagi kapal-kapal yang memasuki pelabuhan Guangzhou. Ia menjadi mercu tanda penting di sepanjang Laluan Sutera Maritim dan membantu para pedagang mencari jalan ke bandar ini. Itu satu fakta yang sangat menarik.
Bayangkan... sebuah menara masjid bukan sahaja mengajak manusia kepada solat, tetapi juga membantu para pelayar merentasi lautan.
Siapa yang Membina Masjid Ini?
Di sinilah saya belajar bahawa sejarah kadangkala mempunyai dua versi.
Menurut tradisi tempatan yang diwarisi turun-temurun, Masjid Huaisheng dikaitkan dengan Sa'd ibn Abi Waqqas (RA), salah seorang sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Ramai penduduk tempatan percaya beliau datang ke Guangzhou pada abad ke-7 dan memainkan peranan penting dalam perkembangan awal Islam di China.
Namun, apabila saya membuat semakan lanjut, saya mendapati perkara ini masih diperdebatkan oleh para sejarawan. Walaupun Islam sememangnya tiba di Guangzhou pada zaman awal melalui perdagangan, belum ada bukti sejarah yang benar-benar mengesahkan bahawa Sa'd ibn Abi Waqqas sendiri yang membina masjid ini.
Bagi saya, perbezaan pandangan ini tidak mengurangkan nilai tempat ini. Apa yang pasti, masjid ini menjadi saksi bahawa Islam telah bertapak di bumi China sejak lebih 1,300 tahun dahulu.
Masjid Terbesar di Guangzhou
Pada hari yang sama, saya turut berpeluang melawat Masjid Xianxian, yang merupakan masjid terbesar di Guangzhou. Seni binanya sangat berbeza.
Jika Masjid Huaisheng lebih sederhana dan mencerminkan seni bina awal China, Masjid Xianxian mempunyai kawasan yang lebih luas dengan suasana yang lebih terbuka. Di sinilah saya melihat sebuah kawasan perkuburan lama yang sangat dihormati.
Kawasan ini dikaitkan dengan para pendakwah Islam terawal yang datang ke China. Tradisi tempatan juga mengaitkannya dengan Sa'd ibn Abi Waqqas (RA), namun seperti kisah Masjid Huaisheng, perkara ini masih menjadi perbahasan dalam kalangan para ahli sejarah.
Saya juga melihat sebuah telaga lama yang dikenali sebagai Shabt Well. Menurut papan penerangan di situ, telaga ini telah wujud lebih daripada 1,300 tahun.
Airnya masih jernih dan saya terpanggil untuk mencubanya. Rasanya bersih, sejuk dan menyegarkan.
Satu pengalaman yang pasti akan saya ingat untuk masa yang lama.
Apa Yang Saya Pelajari
Perjalanan ini mengajar saya satu perkara. Kadangkala kita terlalu banyak merujuk tentang sejarah Islam di Timur Tengah sehingga terlupa bahawa Islam juga telah berkembang begitu jauh ke timur, merentasi lautan, budaya dan bahasa.
Saya pulang dari Guangzhou bukan sahaja dengan gambar dan video yang cantik. Malah saya rasa syukur kerana diberi peluang berdiri, mengambil wuduk dan menunaikan solat di sebuah masjid yang telah menyaksikan lebih seribu tahun sejarah umat Islam.
Apabila saya berdiri di sana, saya terfikir, mungkin tempat ini pernah menerima langkah para pedagang yang sanggup belayar berbulan-bulan demi mencari rezeki dan menyampaikan akhlak Islam kepada masyarakat setempat.
Hari ini, giliran kita pula untuk datang sebagai pelawat. Bukan sekadar melihat sejarah, tetapi menghargainya.
Dan mendoakan agar rumah-rumah Allah seperti ini terus dipelihara untuk generasi yang akan datang.

